Tiada resipi hari ni, cuma nak menzahirkan
dan berkongsi sekilas pemandangan dan pengalaman yang saya lalui tatkala
mengorak langkah dalam meneruskan
hidup sebagai hamba ‘ALLAH’ di buminya yang dipinjamkan untuk sementara ini.
Tanggal
11 Feb 2014, saya ke Pasar Awam Larkin dalam usaha mencari bekalan untuk
memenuhkan peti sejuk saya yang sudah hampir kehabisan bahan bahan untuk di
masak. Di dalam dompet, saya membawa sejumlah wang sekitar RM 700. Selesai
membeli beberapa kg daging, beberapa ekor ayam, seafood dan juga sayur sayuran
dan rempah ratus, saya bergegas memacu kenderaan untuk segera sampai ke rumah
kerana pada sebelah petangnya saya harus memasak untuk sidang meja bulat antara
saya dan rakan-rakan akrab saya. Perbelanjaan di pasar tidak pun sampai RM 300.
Dalam
perjalanan pulang, mata saya tertumpu pada sederetan rumah kedai yang pada
beberapa bulan lepas, saya dan teman serumah habiskan masa sekurang kurangnya dua
kali seminggu untuk menikmati makan malam di Restoran Al-Falah. Rakan saya gemarkan ayam Tandoori dan
juga roti naan di sini. Saya
mengambil keputusan untuk membelok dan singgah menikmati sarapan pagi memandangkan
perut saya masih belum di isi.
Saya
memesan sekeping Roti Bawang Telur Double dan juga segelas Teh ‘O’
Panas. Sementara menunggu pesanan
di bawa, jejari saya sibuk menekan kekunci handphone sambil berbalas-balas
pesanan ringkas di dua kumpulan pada aplikasi ‘wechat dan whatsapp’. Satunya kumpulan ‘teman akrab’ dan satu
lagi adalah kumpulan ‘adik beradik’ saya.
Saya senyum sendirian apabila kami sibuk mengusik antara satu sama lain
di kedua dua kumpulan.
Selang
beberapa meja, ada tiga orang pemuda India sedang menikmati sarapan
sambil berbual dalam bahasa Tamil dengan nada yang kuat. Pada awalnya saya
membiarkan sahaja – tapi lama kelamaan, mereka berbual semakin kuat di selangi
ketawa berdekah dekah yang agak menjengkelkan. Saya cuba untuk tidak ambil pusing akan hal ini, tetapi
ianya berlarutan sehingga mengganggu tumpuan saya.
Di
dalam hati, saya mula menyumpah mereka bertiga, termasuklah ayat ayat yang
berbaur perkauman. Rasa marah dan benci mula menular ke segenap tubuh badan
saya. Ingin sahaja saya bangun dan
bergegas ke meja mereka menyarankan agar mereka ke pasar yang tidak jauh dari
situ dan bercakap serta gelaklah sepuas hati mereka di sana.
Selang
beberapa minit, kelihatan seorang budak berpakaian seragam sekolah, dengan beg
selempang dan tabung di tangan, menghampiri dari meja ke meja menghulurkan
sekeping dokumen dan juga tabung meminta ihsan dan bantuan daripada pengunjung
pengunjung di restoran tersebut. Kebanyakkan dari pelanggan menghulurkan not
RM1 dan dimasukkan ke dalam tabung. Tiba di meja saya, bermacam macam soalan yang saya ajukan
kepada budak yang dari pengamatan saya mungkin berusia dalam lingkungan 15 atau
16 tahun. Tangan saya segera
mengeluarkan not RM5 dan memasukkan ke dalam tabung tersebut. Sebelum pelajar terbabit beredar, saya
ada mempelawanya untuk bersarapan sekiranya dia mahu tetapi katanya
‘Alhamdulillah Abang, saya sudah bersarapan awal pagi tadi dan masih
kenyang’. Dia meminta diri setelah
menerima anggukan daripada saya.
Di hati saya masih ada rasa was was, samada derma yang diminta adakah
sahih ataupun sekadar sindiket yang banyak berleluasa di Malaysia ini. Tapi rasa sangsi itu segera saya
padamkan memandangkan saya telah lepaskan tanggungjawab dan amanah saya kepada
budak terbabit.
Ketika
pelajar terbabit melintasi kumpulan pemuda India yang saya ceritakan tadi, dia
tidak berhenti. Tetapi salah
seorang pemuda itu memanggilnya.
Setelah pelajar tersebut menghampiri mereka, mereka bertanya ‘Adik minta
derma untuk apa?’ Setelah di terangkan, ketiga-tiga pemuda terbabit mengeluarkan
not RM 10 seorang dan memasukkanya ke dalam tabung tersebut. Salah seorang daripada mereka berpesan
‘Tabung tu adik pegang kuat kuat, peluk di badan jangan pegang macam tu saja…
takut nanti ada orang ‘snatch’ (ragut).
Setelah pelajar itu berlalu… mereka menyambung perbualan mereka semula
dengan nada dan ketawa yang sama.
Tapi
…. kali ini, ia tidak lagi menjengkelkan hati saya, malahan di birai mata saya,
air mula bertakung. Saya tersedar,
beretika baik di meja makan tidak menjadikan saya lebih bagus dari mereka. Menyerahkan not RM5 dan menganalisa
rata-rata orang lain yang menyerahkan RM1 juga tidak bererti saya lebih mulia
dari mereka, sedangkan poket saya masih tebal. Mereka mengeluarkan not RM10
seorang tanpa banyak bicara sedangkan saya hanya mengeluarkan not RM5 namun masih
terdetik rasa sangsi di hati. Di mana sifat ikhlas saya? Di mana letak tulus
saya dalam mencari kebaikan yang ‘ALLAH’ redhai? Saat itu saya merasakan terlalu kerdil raga ini kerana jiwa
saya belum betul betul bersih, belum betul betul merdeka. Setelah menyeka air mata, saya menoleh kearah
mereka semula, terpampang di dada salah seorang pemuda India itu loket salib
yang membuktikan bahawa dia bukan beragama Islam. Saya tidak dapat memastikan identiti ke dua dua yang lain. Mungkin mereka seagama, mungkin
tidak. Namun yang mengharukan hati
saya ialah mereka tidak menjadikan agama sebagai jurang atau alasan untuk tidak
membantu yang memerlukan.
Menghulurkan bantuan tanpa mengerdip mata, atau berfikir dua kali.
Sedangkan hanya kerana tidak senang dengan perangai mereka saya menjadikan
perkauman sebagai tiket untuk menyelar mereka sedangkan agama saya tidak
mengajar saya untuk membeza-beza.
‘ALLAH’
menguji saya, ‘ALLAH’ memberi peringatan kepada saya, ‘ALLAH’ tunjukkan jalan pada
saya… Saya
pulang dengan iltizam baru.. untuk jadi yang lebih baik, untuk mengangkat
darjat saya ketahap yang lebih sempurna…terima kasih ‘YA ALLAH’!